Jurulatih Kaya Iloilo, Yu Hoshide mengakui persiapan singkat antara punca utama prestasi permainan anak buahnya kurang menjadi.
Pasukan juara Liga Filipina, Kaya Iloilo dihukum oleh KL City semalam bagi aksi saingan Shopee Cup perlawanan pertama kumpulan B.
Namun, jurulatih berusia 47 tahun ini tidak mahu menjadikan ia sebagai alasan di atas kekalahan tersebut. Beliau juga tidak mahu menyalahkan barisan pemainnya.
“Saya sangat menghargai pemain, mereka tidak bersalah. Ketika ini, kami masih belum mula aksi saingan Liga. Akan tetapi, kalah tetap kalah, kami terima keputusan itu.
“Saya harus terima keputusan ini dan belajar dari kesilapan. Kami harus sedar bahwa kami masih belum cukup baik. Itu pandangan saya.
Dalam pada itu, jurulatih kelahiran Jepun itu mendedahkan mengapa beberapa pemain utamanya terpaksa dikeluarkan adalah kerana ketegangan otot disebabkan padang asli.
Hoshide turut memaklumkan bahwa ini adalah perlawanan pertama pasukannya beraksi di padang asli bukan sintetik.
“Sejujurnya kami tidak tahu bila Liga akan bermula, dan tahun ini kami tidak pernah beraksi di padang asli. Oleh sebab itu, terdapat beberapa pemain mengalami ketengangan otot.
“Sebenarnya, sebelum Shopee Cup ini bermula, pasukan kami hanya ada satu sahaja aksi persahabatan. Itu sangat susah untuk kami,” kata Yu Hoshide dalam sidang media selepas tamat perlawanan.
Selepas ini, Kaya FC berdepan tugas berat apabila akan bertemu gergasi Thailand, Buriram United perlawanan kedua kumpulan B saingan Shopee Cup.