Tengku Hazman Hairan Pengadil Batal Gol Terengganu
MakanBola
Terengganu FC

Jurulatih interim Terengganu FC, Tengku Hazman Raja Hassan mengakui merasa hairan dengan tindakan pengadil membatalkan gol pasukan itu ketika menentang Kuala Lumpur City FC (KL City FC).

Kontroversi tercetus apabila gol penyerang Curacao, Gervane Kastaneer dibatalkan oleh pengadil, Mohd Fusser Mad Sallih pada separuh masa pertama.

Keputusan itu dibuat beliau selepas VAR mendapati ada insiden kekasaran membabitkan pemain pertahanan Terengganu sebelum mencetuskan gerakan serangan yang menghasilkan gol.

Keputusan Fusser bukan saja mencetuskan rasa tidak puas hati pemain-pemain Terengganu. Malah, penyokong Peteh di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) juga tidak berpuas hati dengan keputusan beliau.

Apabila diminta mengulas insiden gol berkenaan, Tengku Hazman mengakui merasa hairan dengan keputusan yang dibuat Fusser.

“Kalau kira, sudah empat perlawanan berturut-turut (gol Terengganu dibatalkan). Dan apa-apa pun saya terima keputusan ni. Tapi macam tadi, benda sudah berlaku di depan pengadil.

“Benda tu sudah berjalan tiga minit ke depan. Jadi, banyak proses bola itu (dari) merencana serangan semua sampai dekat depan gol. Tapi bila kita gol itu, tiba-tiba ada keputusan itu.

“Kalau kita tak jaringkan gol macam mana? Benda itu rujuk ke (rujuk kepada VAR)? Saya tak faham. Tapi apa pun, saya terimalah dengan apa yang berlaku untuk kali keempat,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

KL City mencuri tiga mata penuh di SSMZA dengan meraih kemenangan 1-0. Madger Gomes muncul wira dengan meledakkan gol kemenangan.