Seorang pemain muda Indonesia memohon maaf disebabkan tindakannya menyepak pemain lawan.
Permohonan maaf itu dibuat Fadly Alberto berhubung insiden yang berlaku selepas tamat perlawanan Elite Pro Academy (EPA) B-20 baru-baru ini.
Fadly yang mewakili Bhayangkara menjadi sebutan peminat bola sepak Indonesia disebabkan tindakannya menyepak belakang pemain Dewa United, Rakha Nurkholis.
Insiden itu mengakibatkan Fadly dikecam ramai pihak di Indonesia. Ini disebabkan statusnya sebagai pemain muda dan pernah mewakili skuad Indonesia Bawah 17 Tahun (B-17).
Susulan itu, Fadly bukan saja kehilangan penaja akibat insiden berkenaan. Malah, namanya turut digugurkan daripada senarai skuad Indonesia B-20.
Fadly kemudiannya mengemukakan permohonan maaf kepada semua pihak atas apa yang berlaku.
“Dengan penuh kesedaran, saya memohon maaf dan menyesal atas perbuatan bodoh saya ketika menentang Dewa United Banten FC B-20,” katanya dalam satu hantaran di Instagram.
“Secara khusus, saya memohon maaf kepada Rakha Nurkholis dan pasukan Dewa United atas tindakan melampau saya menendang Rakha Nurkholis. Selain itu, buat pasukan Bhayangkara Presisi Lampung FC, saya ingin memohon maaf kepada pihak pengurusan, barisan kejurulatihan, serta rakan sepasukan kerana telah merugikan pasukan.
“Dan buat skuad kebangsaan Indonesia, saya memohon maaf kerana perbuatan saya telah mencemarkan nama baik pasukan kebangsaan. Kepada seluruh masyarakat Indonesia, saya juga memohon maaf atas kekecohan yang berlaku akibat tindakan saya itu.”
Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) telah meminta Jawatankuasa Disiplin badan induk itu agar menjatuhkan hukuman berat ke atas pemain berkenaan.