Kapten pasukan Bali United, Ilija Spasojevic tidak mahu memberikan laluan mudah buat Terengganu dalam aksi terakhir Piala AFC walaupun bakal bermain di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.
“Saya gembira dapat kembali ke sini (Malaysia), saya pernah berada disini selama setahun setengah.”
“Untuk perlawanan terakhir esok, Terengganu masih berpeluang untuk mara ke peringkat kalah mati namun kami akan berjuang untuk esok kerana kami bukan sahaja membawa nama Bali United tetapi nama Indonesia dan kami mahu menamatkan kempen Piala AFC dengan baik.”
“Saya melihat ramai pemain Terengganu yang berkualiti dan saya juga mempunyai rakan disana namun kami mahu fokus kepada kekuatan pasukan sendiri. Saya mahu bermain sebagai satu pasukan dan esok kami bermain untuk reputasi kelab kami.” ujar Ilija Spasojevic
“Sudah tentu mentaliti kami mahukan 3 mata penuh dan disebabkan itu Bali United mampu memenangi kejuaraan dan mencatat sejarah dalam liga Indonesia. Tidak ada yang pernah memenangi kejuaraan dua kali berturut-turut selain Bali United.”
“Saya tidak mampu menjanjikan 3 mata untuk esok namun matlamat kami sentiasa mahukan 3 mata apabila turun beraksi diatas padang.” tambah Spasojevic dalam sidang media secara siaran langsung oleh Astro Arena.
“Kami juga mempunyai ramai pemain berkualiti dan bukan sahaja mengharapkan 11 pemain utama. Mana-mana pemain mampu bermain jadi saya tidak risau dan yakin kami akan bermain dengan baik menentang Terengganu.”
“Saya gembira dapat kembali ke Malaysia namun sedikit sedih kerana Melaka United sudah tidak bermain dalam liga utama Malaysia.” tambahnya lagi.
Penyerang Bali United yang turut merupakan kapten pasukan kelab itu kini sudah berusia 36 tahun namun sumbangan Spasojevic dalam saingan Piala AFC amat penting apabila beliau mencetak 2 gol dalam 4 perlawanan.