Penyokong Terengganu FC nampaknya perlu menunggu untuk mengetahui sama ada Ivan Mamut kembali cergas atau tidak.
Sebelum ini, kelibat penyerang Croatia berusia 26 tahun itu terpaksa disisihkan jurulatih, Tomislav Steinbruckner selepas mengalami kecederaan tendon Achilles pada pra-musim 2024/25.
Ini menyebabkan Mamut terlepas peluang beraksi dalam beberapa perlawanan awal Liga Super pada bulan lepas.
Susulan itu, bekas penyerang Inter Zapresic itu menjalani pemulihan bersama pakar perubatan di negara kelahirannya selama enam minggu.
Kini, Pengarah Sukan Terengganu, Zul Fadli Rozi memaklumkan tahap kecergasan Mamut akan dinilai oleh pasukan perubatan sebaik beliau pulang dari Croatia pada 3 Jun ini.
Penilaian ini akan menentukan sama ada beliau sudah bersedia kembali menjalani latihan atau perlu meneruskan proses pemulihan bersama skuad Peteh.
“Terengganu FC sebelum ini bersetuju untuk membenarkan Ivan Mamut kembali ke Croatia untuk menjalani rawatan bersama pakar disana selama 6 minggu dan beliau dijadualkan untuk kembali ke Terengganu pada 3 Jun 2024.
“Pihak perubatan Terengganu FC akan membuat pemeriksaan seterusnya apabila Ivan tiba di sini untuk memastikan sama ada beliau sudah bersedia untuk menjalani latihan penuh bersama pasukan ataupun masih perlu meneruskan rawatan pemulihan bersama pihak perubatan Terengganu FC,” katanya dalam satu kenyataan.
Mamut merupakan penjaring terbanyak skuad Peteh pada musim lepas dengan 17 gol dalam semua kejohanan.
Tanpa kelibat beliau, tanggungjawab menjaringkan gol untuk Terengganu kini digalas oleh Ismaheel Akinade, Nnabuike Chijioke dan penyerang muda, Syahmi Zamri.