Pengendali Terengganu FC, Tengku Hazman Raja Hassan memaklumkan penyerang Congo, Yann Mabella belum mencapai tahap kecergasan sepenuhnya.
Hal ini dinyatakan beliau apabila ditanya tentang status kecergasan terkini penyerang berusia 30 tahun itu.
Sebelum ini, Mabella terpaksa berehat lama akibat kecederaan serius. Isu tersebut turut mendorong Terengganu membenarkan beliau menjalani rawatan di Perancis bagi membantu proses pemulihan.
Mabella kemudiannya kembali menyertai sesi latihan Peteh pada Februari lalu. Meskipun begitu, Tengku Hazman enggan mengambil risiko untuk menurunkannya buat masa ini.
Ini kerana Mabella baru saja menyertai beberapa sesi latihan. Justeru, fokus Tengku Hazman ialah memastikan bekas penyerang Tours itu kembali cergas sepenuhnya sebelum boleh beraksi semula.
“Bagi saya, Mabella belum lagi (cergas) 100% lagi. Sebab sekarang dia baru sertai beberapa sesi (latihan) dengan pasukan.
“Jadi, saya rasa untuk perlawanan terdekat ini, dia belum bersedia untuk diturunkan,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi untuk Nadi Bola.
Selepas menyertai Peteh pada musim ini, Mabella menjaringkan lapan gol dalam 10 penampilan semua kejohanan.
Selain beliau, Terengganu yang akan turun menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 11 April juga tempang tanpa beberapa tonggak.
Lima tonggak termasuk Akhyar Rashid dan Shervoni Mabatshoev terpaksa diketepikan akibat kecederaan.
Tiga lagi pemain iaitu Safwan Mazlan, Alif Zakaria dan Saiful Jamaluddin pula perlu menjalani penggantungan perlawanan.