Jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner berharap rekod tanpa kalah pasukannya dapat dikekalkan menjelang aksi Piala AFC menentang Central Coast Mariners esok.
Sejak tewas 3-1 kepada Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) dalam Liga Super pada 9 Jun lalu, Terengganu belum tewas dalam 11 perlawanan Liga Malaysia (Liga M). Dalam tempoh tersebut, skuad Penyu menjaringkan 28 gol dan hanya dibolosi sebanyak lima kali.
Justeru, tidak hairanlah perkara ini memberi keyakinan dan momentum yang bagus kepada pemain-pemain Peteh bila turun berdepan The Mariners.
Begitupun, Steinbruckner mengingatkan bahawa pasukan A-League itu merupakan satu pasukan yang bagus dan berharap pemain-pemain dapat berikan yang terbaik dalam perlawanan berkenaan.
“Ya, kali terakhir kita kalah ialah bila menentang JDT pada bulan Jun, lebih tiga bulan lepas. Dan saya amat berbangga dengan hal ini. Ya, ini satu momentum baik kepada pasukan dengan keyakinan berada pada tahap tertinggi.
“Ini pertandingan bertaraf tinggi tetapi ia juga satu cabaran yang bagus dan kita akan lihat apa berlaku esok. Tapi saya percaya pasukan saya dan mereka akan beri 100% untuk dapatkan keputusan menentang pasukan yang bagus,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan hari ini.
Terengganu berharap dapat memanfaatkan kelebihan sebagai tuan rumah bila menentang Central Coast Mariners di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin esok.