Pasukan Pantai Timur, Terengganu FC terpaksa melupakan khidmat pemain pertahanan kebangsaan, Safwan Mazlan menjelang aksi terbaru liga menentang Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC).
Sebelum ini, skuad Peteh terpaksa melupakan khidmat dua pemain sayap negara, Safawi Rasid dan Akhyar Rashid untuk aksi berkenaan. Ini disebabkan status mereka sebagai pemain pinjaman pasukan gergasi selatan tanah air itu.
Kini, pengendali Terengganu, Tomislav Steinbruckner terpaksa melupakan khidmat Safwan menjelang aksi menentang JDT. Ini selepas bek tengah berusia 22 tahun itu mengalami kecederaan hamstring.
Keadaan ini memaksa jurulatih Croatia itu mencari pemain alternatif untuk bergandingan dengan Shahrul Nizam Ros Hasni di bahagian bek tengah.
Antara pilihan Steinbruckner ialah bek tengah muda, Ubaidullah Shamsul Fazili dan bek tengah Belanda, Matthew Steenvorden.
“Kita ada beberapa masalah berkenaan kecederaan tetapi itu normal. Kita ada 24, 25 pemain dan beberapa orang tidak ada di sini. Apa yang kita boleh lakukan ialah letakkan pemain lain.
“Ya, saya fikir kita sudah bersedia untuk (perlawanan) esok (hari ini). Kita akan tunjukkan apa cara terbaik untuk bermain. Tidak kisah siapa (lawan) tetapi kita fokus kepada (pasukan) kita,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi untuk Nadi Arena.
Aksi ini menjadi tumpuan ramai peminat bola sepak negara kerana JDT dan Terengganu merupakan pasukan yang masih belum tewas dalam saingan Liga Super setakat ini.
Harimau Selatan dan Peteh bakal berentap di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 26 Julai ini. Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu ialah final Piala Malaysia 2023 pada Disember tahun lalu.