Pengurusan Terengganu FC bersedia melunaskan baki tunggakan gaji terhadap bekas penyerang import Thailand, Adisak Kraisorn.
Isu ini timbul apabila pengurusan Peteh dilaporkan memiliki baki tunggakan gaji bekas penyerang Muangthong United itu sebanyak enam angka.
Isu tunggakan gaji Adisak telah dibawa kepada pengetahuan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA). Justeru, Terengganu diberi tempoh selama 45 hari untuk menyelesaikan isu berkenaan.
Susulan itu, pengurusan Peteh mengeluarkan satu kenyataan berhubung perkara ini. Terengganu mengakui mereka masih ada baki tunggakan gaji yang perlu dijelaskan dengan Adisak.
Pada masa sama, nilai tunggakan yang dinyatakan tidaklah mencecah enam angka seperti didakwa. Sebaliknya, nilai tunggakan tersebut hanya mencecah lima angka.
“Terengganu FC menafikan mempunyai tunggakan gaji sehingga enam angka (dengan Adisak Kraisorn). Pihak Terengganu FC mengakui masih belum menjelaskan gaji Disember 2023 yang melibatkan lima angka sahaja.
“Tahanan bayaran dibuat bagi memperhalusi pelbagai perkara melibatkan pemain dengan pihak ketiga seperti sewaan rumah, kenderaan dan hal-hal lain sebagaimana termaktub dalam kontrak.
Tuntutan selebihnya adalah melibatkan pendahuluan diri, tiket penerbangan dan yuran tandatangan yang berjumlah lima angka sahaja. Ianya di dalam kemampuan Terengganu FC untuk menyelesaikannya,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Terengganu turut memaklumkan mereka telah menerima surat arahan penyelesaian tunggakan gaji daripada FIFA.
Pengurusan Peteh juga memberi jaminan akan menyelesaikan isu yang dinyatakan dalam tempoh yang ditetapkan FIFA.
“Pada 31 Ogos 2024, FIFA telah mengeluarkan surat arahan penyelesaian dalam tempoh 45 hari iaitu jangkaan sehingga 15 Oktober 2024.
“Terengganu FC sedia maklum dan tindakan penyelesaian akan dilakukan di dalam tempoh masa diberikan. Terengganu FC sentiasa berhubung dengan pemain serta ejennya.
“Untuk makluman, Terengganu FC tidak pernah dikenakan apa-apa tindakan serius daripada FIFA sebelum ini dan segala notis dan arahan sentiasa dipatuhi,” ujarnya.
Adisak menyertai Terengganu pada musim 2023 dan beraksi sebanyak 28 kali dalam semua kejohanan. Ini termasuk aksi final Piala Malaysia 2023 di mana Terengganu muncul naib juara.
Isu ini timbul tatkala Peteh baru saja memutuskan untuk tidak mengekalkan khidmat jurulatih Croatia, Tomislav Steinbruckner. Ini susulan prestasi buruk pasukan dalam semua kejohanan sejak kebelakangan ini.
Susulan itu, pengurusan Terengganu melantik penolong jurulatih, Badrul Afzan Razali sebagai pemangku jurulatih. Beliau bakal dibantu ketua jurulatih Terengganu II, Hairuddin Omar.