Pengurusan Terengganu FC bersedia menambah baik beberapa kemudahan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA).
Perkara ini dinyatakan sendiri oleh Exco Pembangunan Belia, Sukan & NGO Negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim. Ini selepas beliau telah mendengar maklum balas penyokong tentang kemudahan SSMZA semasa aksi separuh akhir pertama Piala FA 2024.
Aksi tersebut menyaksikan Terengganu meraih kemenangan tipis 3-2 ke atas pasukan gergasi Lembah Klang, Selangor FC. Perlawanan yang berlangsung pada 19 Julai lalu itu turut menarik kehadiran 31,689 orang.
Walau bagaimanapun, ramai penyokong mengeluh bilangan tandas yang ada di SSMZA tidak mampu menampung kehadiran penyokong terutama pada hari perlawanan membabitkan pasukan terkenal.
Selain itu, penyokong turut mengeluh mereka tidak dapat beribadat dengan selesa di surau-surau SSMZA kerana surau-surau ini menggunakan alas tikar getah.
Hal ini mendorong Hishamuddin membuat tinjauan di SSMZA bersama Timbalan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Encik Hama Hakim Wahyudi Awang baru-baru ini.
Selepas membuat tinjauan, beliau berjanji akan melaksanakan beberapa kaedah untuk membantu penyokong bila bertandang ke SSMZA selepas ini. Ini termasuk menyediakan tandas di luar stadium dan hamparan kanvas di kawasan lapang untuk tujuan solat.
“Sementara itu, bagi perlawanan ’panas’, pihak Kompleks Sukan Negeri Terengganu akan menyediakan hamparan kanvas di beberapa kawasan lapang untuk digunakan sebagai alas bagi memudahkan pihak penonton muslim menunaikan solat. Perlawanan panas ialah perlawanan yang melibatkan penerimaan penonton yang ramai.
“Kami turut menerima cadangan untuk menyediakan tandas di luar stadium bagi kegunaan penonton sebelum masuk ke stadium. Insya Allah, perkara ini akan diusahakan untuk dipertimbangkan oleh pihak Kerajaan Negeri.
“Sementara itu, tandas di luar Surau Kompleks Sukan Negeri Terengganu di hadapan Pusat Latihan TFC sedang giat dalam pembinaan untuk kegunaan awam,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Hishamuddin turut mengingatkan penyokong agar menjaga semua kemudahan ini demi manfaat semua orang terutama pada hari perlawanan.
Terengganu bakal melayan kunjungan Negeri Sembilan FC di SSMZA untuk aksi terbaru liga pada 30 Julai ini.