Terengganu FC sudah menemui pengganti penolong jurulatih pasukan itu, Hairuddin Omar.
Sebelum ini, bekas penyerang kebangsaan itu dilaporkan bakal menyertai barisan kejurulatihan Harimau Malaya diketuai bekas pengendali FC Tokyo, Peter Cklamovski.
Sekiranya ini berlaku, maka Hairuddin bakal kembali menjadi sebahagian staf kejurulatihan skuad negara buat kali kedua.
Ini kerana beliau pernah menggalas peranan sebagai pembantu jurulatih skuad Malaysia Bawah 19 Tahun (B-19) dari 2017 hingga 2018. Pada ketika itu, skuad Malaysia B-19 dibimbing pengendali Croatia, Bojan Hodak.
Kini, wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi memaklumkan Peteh sudah mempunyai calon pengganti Hairuddin. Calon tersebut ialah Rosdi Talib.
“Rosdi Talib kini ambil tempat yang ditinggalkan Hairuddin Omar selaku penolong ketua jurulatih Terengganu,” katanya di X.
Kelibat legenda Terengganu berusia 49 tahun itu kelihatan dalam aksi Liga Super antara pasukan itu dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) baru-baru ini.
Rosdi bukan asing dengan Peteh. Ini kerana beliau pernah beraksi untuk pasukan itu sebanyak dua kali iaitu 1997-2002 dan 2013.
Sepanjang bersama pasukan itu, Rosdi membantu Terengganu muncul juara Piala Malaysia 2001. Beliau juga pernah beraksi sebanyak 50 kali buat Harimau Malaya.