Terengganu Terpaksa Lupakan Azam Azmi?

Azam Azmi Murad KL City FC Piala Malaysia Terengganu FC Terengganu Terpaksa Lupakan Azam Azmi?
Terengganu FC
Azim Noor @mohdazim45
4:19pm 14/11/2023

Terengganu FC mendapat tamparan hebat hari ini apabila Azam Azmi Murad terpaksa disisihkan untuk baki kempen musim 2023.

Selepas terpaksa menarik diri daripada skuad kebangsaan baru-baru ini akibat kecederaan, ramai penyokong Peteh tertanya-tanya tentang tahap kecederaan yang dihadapi beliau.

Hari ini, pemerhati bola sepak Terengganu, Piang Shankly melaporkan beliau mengalami kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL) Gred 2.

Keadaan ini menyaksikan Azam terpaksa disisihkan untuk beberapa ketika bagi menjalani proses pemulihan.

Malah, bek kanan berusia 22 tahun itu berkemungkinan terpaksa melupakan hasrat membantu Harimau Malaya mendepani kempen Piala Asia 2023 yang akan berlangsung pada Januari tahun hadapan.

Jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon sudah memanggil Daniel Ting sebagai pengganti Azam untuk dua aksi kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Kyrgyzstan dan Taiwan.

Hal ini dijangka memeningkan kepala jurulatih Terengganu, Tomislav Steinbruckner untuk mencari pemain mana mampu mengisi kekosongan di posisi berkenaan.

Seorang pemain yang dijangka mengisi kekosongan yang ditinggalkan Azam ialah pemain pertahanan Safwan Mazlan.

Mampu beraksi di bek kiri dan bek tengah, pemain pertahanan berusia 21 tahun itu kadang-kadang turut mengisi slot bek kanan jika diperlukan.

Malah, Safwan turut mengisi posisi sama untuk Terengganu II dalam aksi final Piala MFL menentang Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) II pada 11 November lalu.

Mengikut khabar terbaru, penyokong Peteh boleh menghela nafas lega apabila Azam kini menjalani proses pemulihan dan bekerja keras untuk kembali ke tahap terbaik.

Ini sekaligus memberi kemungkinan beliau dapat membantu Terengganu pada aksi final Piala Malaysia 2023 nanti.