Perlawanan akhir Piala MFL 2023 antara pasukan Terengganu ll dan Johor Darul Ta’zim (JDT) ll berkesudahan dengan kemenangan 1-0 memihak Terengganu.
Aksi yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras itu menyaksikan kedua-dua pasukan membariskan pemain terbaik untuk memburu kejayaan.
Perlawanan ini menjadi tumpuan selepas beberapa nama besar JDT seperti Oscar Arribas, Shane Lowry dan Endrick diturunkan dalam kesebelasan utama pasukan.
Anak didik Hairuddin Omar bermula garang apabila melancarkan dua percubaan awal menerusi Syahmi Zamri dan Jordan Mintah.
Skuad Harimau Selatan cuba mengatur gerak menerusi beberapa percubaan dari sisi padang namun berjaya dinafikan oleh kecemerlangan barisan pertahanan skuad Peteh.
Aksi babak pertama tamat 0-0.
Bersambung babak kedua, Terengganu bermula dengan aksi yang amat baik dan hampir memperoleh jaringan menerusi percubaan kencang Syahmi Zamri.
JDT hampir berada di depan hasil percubaan kencang Ramadan Saifullah namun hanya melepasi gawang yang sudah terbuka.
Kesilapan penjaga gol yang melakukan hantaran kepada pertahanan, Aysar Hadi yang hilang kawalan bola dimanfaatkan oleh Isa Raman untuk gol kemenangan pada minit ke-88.
Tambahan masa 6 minit tidak mengubah keputusan perlawanan yang kekal hingga wisel penamat dibunyikan.
Kemenangan ini menjadikan Terengganu juara edisi pertama Piala MFL yang mula diperkenalkan pada tahun ini.