“Terima Kasih Pahang” – Sergio Aguero
MakanBola
Sri Pahang FC

Perancang tengah Sri Pahang, Sergio Aguero mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan.

Tonggak berusia 31 tahun itu menjadi watak penting buat Sri Pahang sejak beberapa musim sebelum ini sehingga berjaya mengukir kejayaan seperti muncul naib juara Piala Malaysia.

Walau bagaimanapun, jodoh Aguero dan Sri Pahang tampak sudah berakhir apabila pemain kebangsaan itu memuat naik ucapan terima kasih buat rakan dan juga pihak pengurusan.

”Hari ini, sukar untuk saya ungkapkan dengan kata-kata apa ertinya Pahang dalam hidup saya.”

“Lima tahun lalu, saya tiba di sini sebagai orang asing. Saya tidak tahu apa yang menanti dan yang saya bawa hanyalah impian dan harapan yang tinggi.”

“Namun sejak hari pertama, Pahang menerima saya dengan tangan yang terbuka. Pahang berikan saya sebuah pasukan, sebuah rumah keluarga dan paling penting rasa dimiliki.”

“Ke mana pun bola sepak membawa saya selepas ini, Pahang tetap akan kekal dalam hati saya,” tulis Sergio Aguero di laman Instagram.

Aguero turut merakamkan ucapan terima kasih buat Pemilik Kelab Sri Pahang, Yang Amat Mulia Tengku Muda Pahang di atas segala jasa baik sepanjang 5 tahun baik dari segi kerjaya mahu pun kehidupan peribadi.

”Saya juga ingin merakamkan penghargaan yang istimewa kepada Yang Amat Mulia Tengku Muda Pahang. Baginda mengangkat saya daripada titik kosong, mempercayai saya ketika tidak ramai yang melakukannya, dan melayan saya seperti anak sendiri.”

“Saya akan selamanya berhutang budi dan berterima kasih atas segala yang telah Baginda lakukan baik dari segi kerjaya mahupun kehidupan peribadi saya.”

“Terima kasih atas lima tahun yang tidak akan saya lupakan.”

“Terima kasih buat rakan sepasukan, barisan kejurulatihan, pihak pengurusan, dan paling utama para penyokong yang sentiasa bersama kami sepanjang musim, tidak kira panas atau hujan.”

“Ini bukanlah sebuah ucapan selamat tinggal. Ini adalah satu janji bahawa saya akan selamanya jadi sebahagian daripada keluarga Pahang.”

“Terima kasih, Pahang. Anda telah mengubah hidup saya,” luah Aguero panjang lebar.

Untuk rekod, Sergio Aguero menyertai Sri Pahang pada tahun 2021 dari pasukan Perak dan berjaya melakukan 46 penampilan selain mencetak 10 gol dan 9 bantuan jaringan.