Advertisements
Terkini: Nidzam Jamil Dilantik Ketua Jurulatih Baharu Selangor
Liga Super
MakanBola
Selangor FC

Jurulatih interim Selangor FC, Nidzam Jamil sah dilantik sebagai pengendali pasukan yang baru untuk musim 2024-2025 menggantikan Tan Cheng Hoe.

Pengumuman ini dibuat pengurusan Merah Kuning menerusi satu siaran media di laman sesawang pasukan hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor, Dr. Johan Kamal Hamidon menyifatkan Nidzam sebagai calon tepat untuk mengemudi pasukan ke hadapan selepas ini terutama di peringkat Asia.

“Kami telah membuat penilaian yang terperinci dan kolektif dan berdasarkan kemampuan yang ditunjukkan oleh Nidzam kepada kami semasa beliau berkhidmat sebagai penolong ketua jurulatih untuk musim-musim sebelumnya.

“Nidzam mempunyai pengalaman luas dalam kancah bola sepak Malaysia, memahami budaya dan hala tuju kelab serta mengenali pemain Selangor dengan baik.

“Bagi kami, dia adalah orang yang tepat untuk mengisi jawatan ini dan mampu memimpin kami untuk mengatasi cabaran yang bakal dihadapi Selangor untuk musim 2024/2025,” katanya dalam satu kenyataan.

Nidzam bukan asing dengan Merah Kuning kerana pernah mewakili pasukan itu dari 2000 hingga 2004. Tempoh tersebut menyaksikan beliau menjulang Piala FA (2001), Piala Sumbangsih dan Piala Malaysia (2002).

Selepas bersara sebagai pemain pada 2008, beliau menunjukkan persembahan baik sebagai jurulatih SPA FC dan Felda United FC.

Nidzam kemudiannya menyertai barisan kejurulatihan Selangor sebagai penolong jurulatih Michael Feichtenbeiner pada musim 2022.

Selepas menggalas peranan sebagai jurulatih interim pada pertengahan musim selepas jurulatih Jerman itu dipecat, beliau kekal sebagai pembantu jurulatih kepada Cheng Hoe yang tiba pada September 2022.

Nidzam mengatasi cabaran tiga jurulatih import yang turut berminat mengisi kekosongan yang ditinggalkan Cheng Hoe.