Advertisement
Terkini: Sarjit Singh Dilantik Jurulatih Hoki Malaysia Serta-Merta
UltraSukan
UltraSukan
THT

Bekas jurulatih hoki lelaki Malaysia, Sarjit Singh sah kembali menggalas peranan itu hari ini.

Berita perlantikan tersebut dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi menerusi satu hantaran di X.

“Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) umum pelantikan Sarjit Singh sebagai ketua Jurulatih skuad hoki lelaki negara yang baru dengan tempoh kontrak dua tahun,” katanya.

Sarjit dipilih daripada empat jurulatih yang disenarai pendek oleh Jawatankuasa Kejurulatihan MHC. Selain beliau, K. Dharmaraj, Glenn Turner (Australia) dan Brendon Caralon (Afrika Selatan) turut tersenarai.

Nama Sarjit bukanlah asing dalam arena hoki negara. Ini kerana beliau sebelum ini pernah mengemudi skuad hoki lelaki senior negara dari 2007 hingga 2008.

Selain itu, Sarjit juga pernah mengemudi skuad hoki lelaki junior negara dari 2004 hingga 2006. Ketika ini, beliau mengemudi skuad hoki negeri Johor.

Tempoh tersebut menyaksikan Malaysia meraih pingat emas acara hoki Sukan SEA 2007 dan naib juara Piala Sultan Azlan Shah edisi 2007.

Sarjit dijangka diberi misi untuk dua temasya besar iaitu pingat emas Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun dan layak ke Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles, Amerika Syarikat.