“Terlalu Awal Saya Nak Cerita” – Faisal Halim
MakanBola
Selangor FC

Kapten pasukan Selangor FC, Faisal Halim kekal mengunci mulut berhubung gaya keraian golnya menentang Kelantan RW, pada Sabtu malam.

Pasukan kendalian Kim Pan-gon cemerlang mengutip tiga mata di gelanggang lawan, berjaya merekodkan kemenangan 4-1 di Stadium Sultan Muhammad IV.

Beraksi di gelanggang lawan, Gergasi Merah Kuning berterima kasih kepada dua jaringan masing-masing oleh Chrigor Moraes (minit 19’ dan 75’) dan juga Faisal Halim pada minit ke-27’ dan 49’.

Faisal bagaimanapun masih berahsia berhubung keraian golnya dengan memasukan bola ke dalam bajunya seakan memberi petanda bakal menimang cahaya mata baharu.

“Masih terlalu awal untuk saya cerita apa-apa tetapi perlawanan pertama bukanlah satu tugas yang mudah.

“Kita agak bergelut tetapi alhamdulillah berjaya menggunakan peluang sebaik mungkin. Keputusan 4-1 bukanlah satu yang kita mahukan sebenarnya,” ujar Faisal.

Beliau juga tampil memberikan keyakinan kepada rakan sepasukan terutamanya pemain baharu yang menyertai Selangor pada musim ini.

“Saya katakan kepada Selvan untuk tunjukan kualiti dan kemampuannya di atas padang dan jangan malu-malu.

“Beliau merupakan seorang pemain yang sangat berkualiti,” tambah pemain berusia 28 tahun itu ketika ditemu bual oleh Azri Haziq di Malaysian Football League.

Aksi kedua Liga Super menyaksikan Selangor FC bakal melayan tentangan Terengganu manakala Kelantan RW akan bertemu Kuching City FC masing-masing pada 29 Ogos 2026.