Pemain tengah Kuala Lumpur City FC (KL City), Brendan Gan mengaku teruja apabila mengalami kecederaan sebelum ini.
Ianya bukanlah kerana gembira disebabkan kecederaan itu tetapi beliau teruja untuk melalui apa yang bakal ditempuhinya selepas kecederaan tersebut berlaku.
“Kali pertama saya mengalami kecederaan ACL (ligamen anterior cruciate) kanan saya, bunyinya agak pelik tapi saya agak teruja kerana ia adalah perjalanan baru. Sesuatu yang saya sedang pelajari.
“Saya memang berminat untuk tahu bagaimana cara badan kita berfungsi. Jadi saya teruja. Tetapi ini (bola sepak) adalah sumber rezeki saya. Itulah yang paling menyakitkan.
“Ramai orang yang tidak kembali (beraksi) selepas ACL. Ramai atlet tidak kembali. Itu yang paling saya risaukan. Tetapi saya masih teruja dengan proses (pemulihan ACL),” jelas Brendan Gan kepada Astro Gempak.
Untuk rekod, Brendan Gan telah mengalami kecederaan ACL sebanyak dua kali iaitu satu di lutut kanan manakala satu lagi di lutut kiri. Namun Brendan gagah bangkit dan bermain bola sepak semula.
Selain dua kecederaan ACL yang pernah dialami, Brendan juga merupakan pejuang kanser testis dan pernah berehat panjang dari bola sepak gara-gara kanser tersebut.