Advertisements
Thailand Medan Terbaik Uji Skuad Futsal Malaysia
UltraSukan
UltraSukan
FA Malaysia

Pengendali skuad futsal Malaysia, Rakhpol Sainetngam melihat Thailand sebagai medan terbaik untuk menguji kemantapan barisan pemain negara.

Skuad futsal negara bakal beraksi dalam NSDF Futsal Championship Thailand 2024 yang bakal berlangsung dari 24 hingga 28 Mac ini.

Kejohanan tersebut bakal menampilkan tuan rumah Thailand, Malaysia, Afghanistan dan Australia.

Rakhpol melihat dengan penyertaan skuad negara dalam kejohanan empat sebelah itu bukan saja bakal menambah pengalaman yang ditimba anak buahnya.

Malah, ini secara tidak langsung membantu para pemain beradaptasi dengan sistem baru yang mahu diperkenalkan beliau menjelang Kejuaraan Futsal ASEAN 2024 di Thailand pada Mei ini.

“Kita telah menunjukkan prestasi yang bagus semasa kelayakan Piala Asia Futsal AFC 2024. Bagi saya, kejohanan kali ini lebih sukar dan memberi ujian yang bagus kepada para pemain.

“Ini juga membantu mereka beradaptasi dengan sistem baru (yang disediakan oleh saya). Kita harap kita dapat beraksi cemerlang dalam kejohanan tersebut,” katanya kepada media pada sesi latihan skuad negara hari ini.

Skuad futsal bakal berkumpul untuk kem latihan pusat pada 19 Mac sebelum bertolak ke Bangkok pada 21 Mac ini.