Thailand Open: Aaron Chia-Wooi Yik ‘Berpeluh’ Tundukkan Beregu Perancis
UltraSukan
BA Malaysia

Pasangan beregu lelaki Malaysia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berdepan detik cemas sebelum menumbangkan lawan dari Perancis dalam aksi pusingan pertama Thailand Open 2025.

Masih segar dengan kejayaan muncul juara Asia, Aaron-Wooi Yik kembali ke Jelajah Dunia BWF di Thailand dengan impian meraih kejuaraan ketika bertemu Julien Maio-William Villegar di pusingan awal.

Ini merupakan pertemuan pertama antara kedua-dua beregu dengan kelebihan sudah semestinya berpihak kepada Aaron-Wooi Yik yang menghuni ranking ke-5 berbanding pasangan lawan ini.

Saingan sengit diberikan oleh Maio-Villegar terhadap beregu negara ini hingga membuatkan pasangan Perancis ini tampil cemerlang mendahului dua mata ketika interval berlangsung.

Aaron-Wooi Yik berusaha keras bagi mengejar mata dan ini tampak berjaya apabila skor terikat 20-20 pada suatu ketika sebelum beregu lawan berjaya memenangi aksi set pertama kali ini.

Permainan lebih kemas dan teratur telah disusun oleh Aaron-Wooi Yik kali ini dalam usaha untuk memerangkap pasangan Perancis ini hingga dapat meraih mata mudah dari kesilapan lawan.

Walau bagaimanapun, siri kesilapan dan kealpaan dari Aaron-Wooi Yik hampir menghukum wakil negara ini sebelum akhiri set kedua dengan kemenangan 21-19 dan mengheret aksi ke set penentuan.

Di set penentuan, perlawanan juga sengit sehinggakan mata terikat 10-10 di pertengahan aksi dan akhirnya Aaron-Wooi Yik muncul pemenang dalam pertempuran hampir 61 minit itu.

Aksi di gelanggang dua berakhir dengan kemenangan 22-24, 21-19, 21-15 memihak Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Menanti Aaron Chia-Wooi Yik di pusingan kedua nanti adalah pemenang antara beregu Jepun Hiroki Midorikawa-Kyohei Yamashita atau Lu Ming Che-Tang Kai Wei daripada Chinese Taipei.