Pasukan kebangsaan Thailand dilaporkan sudah pun menyenaraikan 75 orang pemain dalam senarai awal untuk ke kem latihan menjelang Piala AFF Mitshubishi Electric 2022 hujung tahun ini.
Ketua jurulatih, Mano Polking dilihat mahu membariskan pemain terbaik dalam saingan kali ini apabila mengumpulkan sejumlah besar pemain muda dan berpengalaman dalam senarai awal.
Berdasarkan laporan, Polking telah pun memaklumkan senarai awal ini termasuklah beberapa nama besar yang berkelana di luar negara.
Sungguhpun begitu, skuad Gajah Perang tetap terlepas khidmat kapten pasukan, Chanatip Songkrasin yang dikhabarkan tidak akan memperkuat pasukan kali ini.
Walau bagaimanapun, pemain bintang lain seperti pemain sayap lincah Hokkaido Consadole Sapporo Supachok Sarachat, penyerang Cerezo Osaka, Chaowat Veerachat dan juga perancang tengah Kedah Darul Aman FC, Sanrawat Dechmitr turut berada dalam senarai.
Para pemain yang beraksi cemerlang di dalam saingan Liga Thai musim ini juga tuurt mendapat perhatian jurulatih kelahiran Brazil itu selain barisan pemain berpengalaman di pentas antarabangsa berkemungkinan kekal dalam perancangannya.
Polking juga memaklumkan bahawa beliau akan mengumumkan senarai akhir 23 orang pemain dalam masa terdekat.
Thailand diundi dalam kumpulan A bersama Indonesia, Filipina, Kemboja dan satu lagi pasukan dalam misi mempertahankan kejuaraan yang disandang pada edisi 2020.