Meskipun memiliki kelebihan selesa agregat 3-0, Terengganu Hockey Team (THT) tetap berwaspada dengan cabaran Maybank.
Perkara ini dinyatakan oleh kapten THT, Fitri Saari selepas perlawanan separuh akhir pertama TNB Cup dengan Maybank hari ini.
Selepas melihat cabaran yang diberi anak buah Azrul Affendy Bistamam hari ini, Fitri enggan memandang rendah cabaran Maybank.
Ini kerana keputusan ini mengingatkannya kepada final Sukan Asia 2018 membabitkan Malaysia dan Jepun. Meskipun pada satu ketika skuad negara mendahului 5-2, pada akhirnya Jepun berjaya mengikat kedudukan 6-6.
The Speedy Tigers kemudiannya terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas tewas 3-1 kepada Jepun menerusi penentuan penalti.
Fitri yang menjadi sebahagian daripada skuad negara ketika itu berharap THT tidak leka dan kekal mempamerkan aksi konsisten dalam aksi separuh akhir kedua pada Khamis ini.
“Setakat ini, belum lagi. 3-0 pada saya tiada apa-apa sebab masa di Sukan Asia 2018, kita (skuad negara) mendahului 5-2. Dalam tempoh lapan minit, apa-apa boleh jadi.
“Saya harap kita (THT) boleh pertahankan (keputusan agregat 3-0). Kalau kita tak boleh jaringkan gol, kita kena halang mereka daripada jaringkan gol.
“Lusa ini aksi separuh akhir kedua. Tapi pujian harus diberi kepada pertahanan sudut penalti Terengganu kerana dapat mengekang serangan pukulan sudut penalti Maybank.
“10 pukulan sudut penalti (diberi kepada Maybank) tetapi kita berjaya pastikan kita tidak bolos, jadi satu pujian kepada THT,” katanya.
THT berharap dapat mengulangi pencapaian mara ke final TNB Cup musim 2024 selepas berjaya melakukannya pada musim 2023.