Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Saari memaklumkan Selangor FC tidak akan menerima bajet tambahan daripada kerajaan negeri.
Hal ini dinyatakan beliau apabila ditanya sama ada Merah Kuning mendapat suntikan kewangan tambahan untuk menghadapi musim 2025/26.
Amirudin memaklumkan Selangor menerima bajet sebanyak RM10 juta seperti yang telah digariskan dalam Belanjawan Selangor 2024.
“Bajetnya memang kekal begitu dengan anak syarikat kita seperti MBI dan PKNS menyumbang selaku pemegang saham kepada Red Giants FC.
“Dan juga pada masa sama, (kerajaan negeri) Selangor turut menyumbang RM10 juta,” katanya kepada media baru-baru ini.
Amirudin turut melihat dengan peruntukan kewangan yang disediakan buat Selangor, beliau berharap pasukan itu mampu menggondol sekurang-kurang satu trofi musim depan.
“Kalau kemampuan pemain-pemain import dipertingkatkan, kita mempunyai peluang untuk mendapat satu piala dalam musim akan datang,” ujarnya.
Selangor dilihat mula membuat persiapan rapi bagi menghadapi musim 2025/26. Ini selepas Merah Kuning melepaskan beberapa pemain seperti Danial Asri, Ronnie Fernandez dan Nikola Jambor.
Pasukan gergasi Lembah Klang itu turut dikaitkan dengan perpindahan beberapa tonggak import. Antara nama yang disebut-sebut ialah Willian Lira, Chrigor Moraes dan Juanpi.