Penang mengumumkan hanya akan mengikat pemain mengikut bajet yang termampu menjelang saingan Liga Malaysia 2024/2025.
Perkara ini dijelaskan oleh ketua jurulatih Penang FC, Akmal Rizal Ahmad Rakhli yang berkata hanya tiga pemain import bakal menjadi tunjang skuad Harimau Kumbang disebabkan bajet yang terhad.
Katanya lagi, beliau kini sedang dalam misi mencari dua lagi pemain import setelah satu slot diisi oleh kapten pasukan, Rafael Vitor.
“Apa yang diberikan oleh pihak pengurusan kepada saya dengan bajet yang kita ada (kekangan bajet), saya diberikan 3 pemain import buat masa ini termasuk Rafael Vitor”, katanya kepada Astro Arena.
Oleh itu, jurulatih berusia 46 tahun itu mahu pemain-pemain tempatan pasukannya untuk berusaha keras merebut tempat dalam kesebelasan utama..
“Ini peluang buat pemain-pemain tempatan dalam Penang FC untuk bersaing merebut tempat, dan saya pasti peluang untuk mereka bermain dalam kesebelasan utama lebih cerah”, tambah beliau lagi.
Penang FC menamatkan saingan Liga Super musim lalu dengan menduduki tangga kesepuluh selain berjaya mara sehingga peringkat suku akhir Piala FA dan terkandas di pusingan 16 terbaik di Piala Malaysia.
Minggu lalu, MFL mengumumkan penambahan kuota seorang pemain import di atas padang setelah mendapat persetujuan kelab-kelab lain bagi musim hadapan.
Ini membolehkan enam pemain import beraksi di atas padang pada satu-satu masa dengan seorang pemain berada di bangku simpanan.