Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal mendapat sokongan padu penyokong menjelang aksi terakhir Liga Timur ACLE menentang Pohang Steelers.
Selepas meraih kemenangan 2-1 ke atas Central Coast Mariners (CCM), JDT dilihat berada pada kedudukan terbaik untuk mara ke pusingan 16 terbaik ACLE.
Harimau Selatan hanya perlu meraih kemenangan ke atas juara Korean FA Cup 2024 itu jika mahu kekal dalam kelompok lima pasukan terbaik Liga Timur ACLE.
Kini, semakan di TicketHotline mendapati tiket ACLE yang diperuntukkan untuk penyokong JDT sudah habis dijual. Yang tinggal hanyalah peruntukan tiket yang disediakan untuk penyokong Pohang Steelers.
Tidak mustahil angka kehadiran tertinggi ACLE yang direkodkan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) bakal dipecahkan lagi.
Statistik semasa menunjukkan aksi JDT dan Ulsan HD merekodkan kehadiran tertinggi iaitu seramai 34,236 orang.
Angka tersebut turut mengatasi rekod kehadiran beberapa kelab terkemuka Asia lain termasuk kelab gergasi Arab Saudi, Al-Nassr.