Tindakan murni pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi usai tamat perlawanan separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Darul Aman meraih perhatian ramai.
Selepas tamat perlawanan kedua-dua pasukan, kesemua pemain menuju terus ke bilik persalinan namun berbeza buat Arif Aiman yang sempat melayan beberapa peminat.
Dalam satu video yang tular di laman Tiktok, Arif dilihat telah melayani dua peminat cilik yang memakai jersi Kedah dengan menurunkan tandatangan dan juga bergambar bersama-sama jurulatih Kedah, Nafuzi Zain.
Melalui perkongsian oleh Dunie Rahim yang merupakan isteri kepada Nafuzi, kedua-dua peminat cilik itu adalah anak beliau dan bersemuka dengan Arif Aiman adalah impian kedua-duanya.
“Akhirnya impian tercapai buat Adam dan Ervan. Terima kasih coach,” coret Dunie Rahim di laman Tiktok.
Pada aksi separuh akhir pertama Piala FA tempoh hari, JDT mempamerkan kebangkitan di akhir perlawanan untuk memenangi perlawanan dengan keputusan 2-1.
Kedah dan JDT akan bertemu sekali lagi dalam separuh akhir kedua yang dijadualkan pada 4 Ogos depan dan bakal dilangsungkan di Stadium Sultan Ibrahim.