Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) menjunjung kasih ke bawah Duli Yang Amat Mulia, Tunku Ismail Sultan Ibrahim TMJ atas perkenan membenarkan aksi Harimau Malaya diteruskan di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Stadium Nasional Bukit Jalil bakal menjadi venue buat skuad kebangsaan menjelang aksi pertama kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 minggu hadapan.
Dalam satu hantaran yang dimuat naik Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menjelaskan bahawa padang di Stadium Nasional Bukit Jalil berada pada tahap yang baik dan sedia digunakan.
“Stadium Malaysia menjunjung kasih ke bawah DYAM Tunku atas perkenan yang telah diberikan untuk perlawanan pada 16 November diteruskan di Stadium Nasional
Bukit Jalil.”
Perbadanan Stadium Malaysia dalam pada itu memberi jaminan untuk memastikan padang Zeon Zoysia yang baru ditanam di SNBJ akan dijaga rapi dan diberi perhatian.
“Perbadanan Stadium Malaysia akan kekal komited untuk memastikan padang SNBJ berada dalam keadaan terbaik untuk pasukan Harimau Malaya dan terus bekerjasama dengan pihak kontraktor padang bagi mengambil langkah-langkah yang sewajarnya.”
Hannah Yeoh pada tengahari telah hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil bagi melihat sendiri kondisi padang. Turut kelihatan ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon bersama delegasi barisan kejurulatihan Harimau Malaya memantau keadaan terkini padang Zeon Zoysia yang baru ditanam.
Malaysia dijadual berdepan pasukan Kyrgyzstan pada 16 November 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum beraksi menentang Taiwan pada 21 November kelak.