Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM TMJ memberi jawapan mengenai perpindahan pemain baharu JDT, Murilo Henrique bagi musim 2024/25.
Pemain kelahiran Brazil itu menjadi tonggak import ketiga yang dibawa masuk bagi jendela perpindahan kali ini selepas Jalil Elias dan Chico Geraldes.
Bintang berusia 28 tahun itu merupakan ejen bebas dan pernah beraksi bersama Nooa Laine di Finland bersama SJK Seinajoki.
Menerusi perkongsian yang dibuat oleh laman Johor Southern Tigers, kemasukan pemain versatil di bahagian kiri ini bakal menambah sengat buat pasukan selepas beliau boleh beraksi pada beberapa posisi penting.
Murilo juga sudah merekodkan 21 bantuan sepanjang beraksi bersama kelab Finland itu.
DYAM TMJ sempat meninggalkan komen pada hantaran tersebut apabila menyambut baik kehadiran beliau ke selatan tanah air.
“Selamat datang Murilo ke rumah perintis dan pencatat sejarah.”
Selain itu, baginda juga memberi bayangan bahawa akan ada lebih banyak kejayaan yang diburu oleh pasukannya menjelang musim baharu.
“Lebih banyak lagi akan datang,” ujar DYAM TMJ.
Pada hantaran yang sama, baginda memberi bayangan bahawa akan mendapatkan khidmat perancang tengah muda negara, Nooa Laine yang kini berada di Finland.
Namun begitu, pemain itu tidak akan dibawa masuk pada jendela perpindahan kali ini menerusi pengesahan DYAM TMJ.