Aksi separuh akhir pertama TNB Cup 2024 menyaksikan keunggulan TNB untuk menundukkan UiTM HA-KPT di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.
TNB yang menyingkirkan Kuala Lumpur City pada perlawanan suku akhir yang lalu terlebih dahulu memimpin permainan menerusi penjaring terbanyak, Azrai Aizad pada minit ke-10.
Azrai terus menggandakan kelebihan buat TNB dengan gol kedua tiga minit kemudian hasil pukulan deras yang menewaskan penjaga gol UiTM, Adrian Andy Albert.
Lambakan peluang terhidang buat TNB menambah jaringan namun penyudah kurang kemas di samping kekebalan benteng pertahanan UiTM menjadikan keputusan 2-0 kekal hingga separuh masa pertama tamat.
Kembali dari rehat, perlawanan agak seimbang meskipun didominasi juara MHL 2024 dengan asakan bertubi-tubi namun, UiTM berjaya menafikan percubaan tersebut.
UiTM bagaimanapun berjaya merapatkan kedudukan 2-1 menerusi jaringan Zul Pidaus Mizun pada minit ke-49 hasil pukulan sudut penalti yang gagal diselamatkan Hairi Abd Rahman di gawang gol TNB.
Anak-anak buah Saiful Zaini kelihatan cemas seketika setelah jaringan tersebut namun kembali agresif dan berjaya meledak gol ketiga menerusi penalty stroke Jang Jong Hyun.
Tamat perlawanan, TNB 3-1 UiTM HA-KPT.
Kemenangan ini amat penting buat TNB bagi membawa bekalan ke aksi separuh akhir kedua Piala TNB yang dijadualkan pada Khamis, 7 Mac depan.