Skuad hoki Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengesahkan kemaraan ke separuh akhir Piala TNB edisi 2024 hari ini.
Ini selepas pasukan yang dibimbing Nor Saiful Zaini itu menewaskan wakil Kuala Lumpur, KL City dalam aksi suku akhir kedua di Stadium Hoki Nasional 2.
TNB memiliki kelebihan agregat yang selesa selepas membelasah KL City 7-0 dalam aksi suku akhir pertama beberapa hari lalu.
Kelebihan itu menjadi batu asas kepada TNB untuk mencatat kemenangan 17-1 ke atas lawan mereka itu hari ini.
Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan meletakkan TNB di hadapan seawal minit keenam. Danish Aiman Khairul Anuar, Faiz Helmi Jali, Jang Jong-hyun dan Danish Danial Abdul Wahab masing-masing meledakkan gol pada minit ke-13, 14 dan ke-15.
Sebaik suku kedua bermula, Syed Mohamad Syafiq, Firhan Ashaari dan Faiz Helmi memastikan TNB mendahului sehingga rehat dengan keputusan 8-0.
Bersambung selepas rehat, Jong-hyun dan Shahril Saabah masing-masing meledakkan gol pada minit ke-33 dan 34. Syed Mohamad Syafiq kemudiannya mencipta hatrik menerusi gol pada minit ke-40.
Shello Silverius dan Azrai Aizad Abu Kamal masing-masing meledakkan gol padang pada minit ke-42 dan 43 bagi menjadikan kedudukan 13-0.
Muhammad Asyraff Ismail memastikan gawang TNB bocor menerusi gol padang pada minit ke-49. Tersentak, TNB membalas dengan menyumbat empat gol dalam suku keempat perlawanan.
Azrai Aizad mencipta hatrik dengan menjaringkan dua gol pada minit ke-51 dan 58. Ini disusuli hatrik Faiz Helmi pada minit ke-55 dan Shello pada minit ke-57.
TNB berharap dapat melengkapkan musim 2024 dengan satu lagi trofi selepas menggondol dua trofi musim ini.
Dua trofi tersebut ialah trofi Liga Hoki Malaysia (MHL) 2024 dan Piala Sumbangsih 2024.
Penyandang juara Piala TNB ketika ini ialah Terengganu Hockey Team (THT) selepas menggondol trofi tersebut untuk musim 2023.