Tokyo Verdy Tumbangkan Skuad Muda JDT 8-2
MakanBola
Johor Southern Tigers

Pasukan muda Johor Darul Ta’zim (JDT) memulakan saingan Lion City Cup dengan langkah kiri setelah tumpas di tangan Tokyo Verdy.

Lion City Cup 2024 menyaksikan saingan empat penjuru yang membabitkan tuan rumah, Singapura Bawah 16 tahun, BG Pathum, Tokyo Verdy serta wakil tunggal negara, JDT.

Untuk rekod, ini merupakan penampilan pertama pasukan muda Harimau Selatan di kejohanan ini selain Tokyo Verdy dari Jepun yang turut diundang selaku pasukan jemputan.

Manakala, BG Pathum hadir ke kejohanan ini berbekalkan status juara bertahan setelah menewaskan Singapura B-15 menerusi penentuan sepakan penalti edisi yang lalu.

Dalam aksi pembukaan pada Jumaat, skuad muda Harimau Selatan terpaksa akur tunduk di tangan Tokyo Verdy dengan keputusan 8-2 di Stadium Jalan Besar.

Manakala, tuan rumah kejohanan, Singapura Bawah 16 tahun bakal berdepan ujian BG Pathum pada sebelah malam untuk menentukan tiket ke perlawanan akhir yang dijadualkan pada 6 Oktober ini.

Meskipun tewas, JDT bakal berdepan satu lagi perlawanan di aksi penentuan tempat ketiga Lion City Cup 2024 pada Ahad dengan sepak mula tepat jam 5 petang waktu Singapura.