Jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner memberi sebab beliau menurunkan penjaga gol ketiga, Syed Nasrulhaq berbanding Rahadiazli dalam aksi terakhir kumpulan G Piala AFC pada Rabu.
Beliau yang ditemui pada sidang media selepas perlawanan berkata Rahadiazli tidak dipilih kerana kecederaan ringan yang dialami beliau di bahagian lututnya dan beberapa kesilapan yang dilakukan beliau pada aksi-aksi sebelum ini.
“Dan Abe (Rahadiazli) mengalami sedikit kesakitan di lutut tetapi tidak serius dan saya memilih Syed Nasrulhaq kerana beberapa perlawanan terdahulu Abe membuat beberapa kesilapan.
Jurulatih kelahiran Croatia itu menjelaskan ketiadaan Suhaimi Hussin, penjaga gol utama pasukan disebabkan oleh demam dan keputusan dan penilaian perlu dibuat oleh beliau dan para pembantunya.
“Selepas Suhaimi mengalami demam, saya perlu membuat keputusan dengan pembantu saya dan jurulatih penjaga gol”, ujar jurulatih berusia 57 tahun itu
Beliau juga mempertahankan keputusan untuk menurunkan Syed Nasrulhaq sebagai penjaga gol dalam perlawanan menentang Bali United kerana merasakan Syed Nasrulhaq layak untuk mengisi posisi penting itu.
“Sekarang kita berada di penghujung musim dan Syed (Nasrulhaq) berhak untuk beraksi kerana dia bekerja keras dalam setiap sesi latihan dan layak untuk menjadi penjaga gol pasukan”, ujar beliau ketika sidang media tersebut.
Pada perlawanan tersebut, anak-anak buah Tomislav Steinbruckner mudah menjinak Bali United 2-0 di laman sendiri.