Pengendali Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner berpuas hati melihat pasukannya mencuri satu mata dalam aksi terbaru Liga Super di Stadium Likas.
Aksi di Likas kembali menemukan Terengganu dan tuan rumah, Sabah FC. Aksi yang berlangsung pada 15 September itu dilihat peluang buat Sang Badak membalas dendam selepas disingkirkan di peringkat suku akhir Piala FA 2024.
Sabah meraih gol pendahuluan menerusi penyerang baru mereka, Joao Pedro pada minit ke-11. Peteh kemudiannya menyamakan kedudukan menerusi Ismaheel Akinade pada minit akhir separuh masa pertama.
Separuh masa kedua menyaksikan kedua-dua pasukan berusaha mencari gol kemenangan tetapi tidak berhasil. Keadaan ini memastikan keputusan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Meskipun meraih keputusan seri di Likas, Steinbruckner berpuas hati dengan usaha yang dipamerkan barisan anak buahnya. Ini kerana bukan mudah untuk mana-mana pasukan mencuri mata daripada Sang Badak di stadium keramat mereka itu.
“Kita mendapat satu mata, saya boleh berpuas hati. Pandangan pertama saya, kita mencipta banyak peluang. Saya dengar daripada para pemain bahawa dalam beberapa situasi, itu boleh saja jadi gol atau sebaliknya.
“Mereka (Sabah) memiliki dua, tiga peluang tetapi kita juga memiliki peluang yang lebih banyak. Mungkin keputusannya tidak membantu tapi saya boleh berpuas hati kerana di sini, bukan mudah untuk mencuri mata.
“Satu mata dan kita berjaya mengekalkan penguasaan bola dan saya ucapkan tahniah kepada pasukan saya kerana (menunjukkan) permainan yang baik,” katanya dalam temu bual selepas perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan Terengganu kekal di tangga ketiga liga dengan 16 mata, dua mata di hadapan Sabah selepas sembilan perlawanan.
Selepas ini, fokus Peteh beralih pula kepada saingan Kumpulan A Shopee Cup. Pasukan Pantai Timur itu akan turun menentang juara Vietnamese Cup 2023, Thanh Hoa.
Terengganu berharap dapat meraih kemenangan pertama dalam Kumpulan A. Ini selepas mereka tewas mengejut 3-2 kepada kelab Kemboja, Preah Khan Reach Svay Rieng dalam aksi pertama pada 21 Ogos lalu.