Hasrat Sabah FC untuk kembali ke landasan kemenangan tidak berjaya selepas diikat Terengganu FC dalam aksi Liga Super di Stadium Likas pada Ahad.
Kedua-dua pasukan telah menurunkan barisan terkuat masing-masing dalam usaha mendapatkan kemenangan selepas gagal melakukannya pada perlawanan terdahulu.
Terengganu memulakan perlawanan dengan garang apabila seawal minit ke-5, Nelson Bonilla hampir meletakkan Terengganu di hadapan namun percubaannya sedikit tersasar di kiri gawang Sabah.
Sabah akhirnya berjaya di hadapan pada minit ke-10 melalui penyudah penyerang baharu, Joao Pedro yang menyambar hantaran menarik daripada Park Tae-su. Sabah mendahului 1-0.
Jaringan tersebut seakan memberi semangat tambahan buat pemain Sabah yang meneruskan asakan ke kubu Terengganu.
Pada minit ke-35, Darren Lok hampir menambah jaringan namun tandukannya terkena palang gol.
Terengganu akhirnya berjaya menyamakan kedudukan pada masa tambahan separuh masa pertama melalui penyudah Ismaheel Akinade yang menyempurnakan hantaran Alif Zakaria.
Kedudukan 1-1 itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung pada babak kedua, Sabah meneruskan tekanan ke kubu Terengganu dengan beberapa gerakan merbahaya.
Safawi Rasid berpeluang untuk meledak pada minit ke-68 namun sepakan percuma yang diambil dapat ditangkap kemas Damien Lim di gawang Sabah.
Dua minit kemudian, Joao Pedro sekali lagi mengancam kubu Terengganu dengan rembatan deras namun berjaya disekat pertahanan Terengganu.
Sabah menggandakan asakan bagi mencari jaringan namun benteng Terengganu yang diketuai Matthew Steenvoorden berjaya mengekang asakan.
Kedudukan 1-1 itu kekal sehingga tamat perlawanan sekali gus satu mata dikongsi kedua-dua pasukan.
Untuk aksi seterusnya, Terengganu akan bertemu Selangor FC pada 28 September manakala Sabah akan bertemu PDRM FC pada 21 September depan.