Pengendali Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner mengakui kekurangan keyakinan dalam kalangan pemain membawa kepada kekalahan 3-2 di tangan Preah Khan Reach Svay Rieng.
Aksi pertama Kumpulan A Shopee Cup menemukan Terengganu dan wakil Kemboja itu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) pada 21 Ogos lalu.
Meskipun dilabel pasukan pilihan, skuad Peteh tergamam apabila ketinggalan dua gol pada separuh masa pertama. Dua gol Svay Rieng disumbang Gabriel Silva dan Pablo Augusto.
Terengganu berusaha merapatkan jurang pada separuh masa kedua menerusi Manuel Ott dan Safawi Rasid. Malangnya, gol ketiga The Blue Saber menerusi Min Ratanak memastikan pasukan itu meraih tiga mata penuh.
Steinbruckner menyifatkan mutu permainan yang dipamerkan wakil Kemboja itu terutama pada separuh masa pertama menjejaskan keyakinan Peteh.
“Mereka jaringkan dua gol pada separuh masa pertama. Kesilapan besar terutama membabitkan gol kedua.
“Mereka menghantar bola kepada penyerang nombor 8 (Pablo Augusto), mencipta beberapa peluang baik pada separuh masa pertama. Kita nampak teruk, kita kelihatan (bermain) tanpa keyakinan dan identiti,” katanya dalam sidang media pasca-perlawanan Terengganu-Svay Rieng yang disiarkan di TFC TV.
Steinbruckner menyifatkan kebangkitan yang dipamerkan Terengganu pada separuh masa kedua tidak cukup untuk menghalang The Blue Saber daripada meraih kemenangan.
Ini sesuatu yang harus diperbaiki Terengganu sebelum kembali menghadapi saingan Liga Super dan Shopee Cup yang bersambung pada bulan hadapan.
“Separuh masa kedua saya sedikit berpuas hati kerana kita bermain dengan lebih baik. Kita dapat menekan, kita menjaringkan dua gol dalam beberapa situasi. Tetapi gol ketiga berlaku disebabkan kesilapan membuat hantaran dan kita kehilangan bola untuk yang ketiga.
“Walau bagaimanapun, kita kelihatan tidak bagus dan tiada siapa boleh berpuas hati dengannya. Ini bukan mudah tetapi inilah bola sepak,” ujarnya.
Terengganu bakal berdepan wakil Vietnam, Thanh Hoa untuk aksi kedua Kumpulan A pada 25 September ini.