Skuad kebangsaan Singapura mendapat suntikan semangat dengan kehadiran pemain pertahanan tengah Cardiff City, Perry Ng.
Perry dibawa masuk pengurusan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) untuk panggilan skuad kali ini bagi membolehkan beliau membiasakan diri dengan suasana kem The Lions.
Keputusan tersebut dibuat selepas Perry menyatakan komitmen mewakili Singapura di peringkat antarabangsa. Malah, bekas bek tengah Crewe itu sudah menghantar permohonan untuk menjadi rakyat Singapura secara rasmi.
Sekiranya proses permohonan berjalan lancar, Perry bakal menjadi pemain warisan pertama yang mewakili The Lions di peringkat antarabangsa.
Ini sekaligus menyaksikan Singapura mengikut jejak beberapa negara ASEAN lain yang merekrut pemain warisan untuk memperkuat skuad kebangsaan masing-masing.
Bagi Perry, peluang bersama kem Singapura kali ini menjadikan impiannya mewakili pasukan itu semakin hampir jadi realiti. Beliau berharap dapat membantu pasukan itu bangkit semula di arena antarabangsa.
“Impian ini akan menjadi kenyataan. Dan anda tahu, saya berusaha merealisasikannya selama 10 tahun. Saya tak percaya saya sebenarnya berada di sini. Dan ini berlaku dengan pantas dalam beberapa minggu saya tak sedar ia berlalu dengan pantas.
“Impian ini akan jadi kenyataan harapnya dapat melangkah keluar di Stadium Nasional. Harapnya keluarga saya akan ada di situ. Dan ya, ia (akan jadi) satu hari yang membanggakan,” katanya dalam satu video FAS.
Perry beraksi bersama Cardiff sejak 2021. Beliau telah merekodkan 150 penampilan, lapan gol dan 13 bantuan gol mengikut data terkini Transfermarkt.
Musim 2024/25 menyaksikan beliau telah merekodkan empat penampilan untuk pasukan yang dibimbing jurulatih berdarah Turkiye-Jerman, Erol Bulut.
Perry bukan satu-satunya pemain yang dijemput FAS untuk merasai pengalaman kem The Lions. Pemain tengah BG Tampines Rovers, Kyoga Nakamura turut dijemput menyertai pasukan yang dibimbing Tsutomu Ogura.
Pemain Jepun itu mendapat status penduduk tetap Singapura baru-baru ini. Dan Nakamura berharap itu membuka jalan kepadanya bergelar rakyat Singapura sekaligus mewakili skuad The Lions.
“Ia satu pencapaian besar buat saya kerana keluarga saya dan saya suka menetap di Singapura. Dan ini peluang baik kepada saya untuk belajar daripada jurulatih dan pasukan sepanjang kem latihan pusat,” katanya.
Singapura bakal beraksi dalam dua aksi latihan tertutup dengan BG Tampines Rovers dan Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC). Kedua-dua perlawanan ini bakal diadakan pada 6 dan 7 September ini.