Tonton Aksi Thailand Vs Malaysia Di Dua Saluran Percuma Ini
MakanBola
Malaysia NT

Peminat dapat menonton aksi Thailand vs Malaysia secara percuma di Youtube dan Facebook tanpa perlu mengakses VPN.

Pengumuman terkini daripada pihak ASEAN United FC MY memaklumkan bahawa perlawanan Thailand vs Malaysia di Stadium Rajamangala boleh ditonton melalui saluran YouTube dan Facebook rasmi badan penganjur itu.

Berita ini sekali gus memberi kelegaan khusus buat para peminat hola sepak tempatan yang kempunan untuk menyaksikan perlawanan melibatkan skuad Harimau Malaya di pentas ASEAN Hyundai Cup 2026 semasa aksi sebelum ini.

Para peminat terpaksa mencari alternatif lain untuk memberikan sokongan kepada skuad kebangsaan, termasuklah menonton siaran langsung penyiar rasmi dari negara lain berbekalkan akses VPN yang perlu diaktifkan terlebih dahulu.

Namun kini, penyokong Harimau Malaya yang tidak berpeluang terbang ke Bangkok dapat memberikan sokongan jitu buat skuad kendalian Tan Cheng Hoe dengan menonton siaran langsung di YouTube ASEAN United FC dan Facebook ASEAN United FC MY.

Perlawanan ini penting untuk Malaysia kerana dianggap cabaran sebenar buat skuad Harimau Malaya selepas dua kemenangan yang dicatatkan ke atas Myanmar dan Laos untuk memimpin carta kumpulan B, mengatasi Thailand.

Sementara, Thailand yang baru beraksi satu perlawanan memiliki tempoh rehat yang secukupnya selain mendapat sokongan hebat peminat di laman sendiri, dalam misi untuk menyekat hasrat pasukan kebangsaan malam ini.

Pertembungan Thailand vs Malaysia bakal berlangsung pada Sabtu, 1 Ogos di Stadium Rajamangala, Bangkok dengan sepak mula perlawanan aksi jam 9 malam waktu Malaysia.