Berbaki empat hari sahaja lagi sebelum aksi persahabatan antarabangsa FIFA yang melibatkan skuad kebangsaan Malaysia kendalian Kim Pan-gon. Malaysia dijadualkan bertemu Syria (6 September) dan China (9 September).
Biarpun ranking Syria dan China jauh lebih baik berbanding Malaysia, namun ini merupakan persediaan terbaik buat skuad Harimau Malaya bagi menghadapi Piala Asia 2023 di Qatar Januari tahun hadapan.
Tumpuan sudah tentu terarah kepada perlawanan menentang China yang menyenaraikan pemain sayap prolifik mereka iaitu Wu Lei. Pemain berusia 31 tahun mempunyai musim yang cemerlang bersama kelabnya, Shanghai Port FC.
Bersama kelabnya musim ini, Wu Lei sudah meledak 14 gol serta menyumbang 11 bantuan gol dalam 24 perlawanan yang telah diharungi. Kecemerlangan Wu Lei sedikit sebanyak membantu Shanghai Port yang kini berada di tangga teratas Liga Super China.
Beraksi di sayap kanan, sudah pasti kelibat Wu Lei bakal diawasi oleh pemain pertahanan kiri Malaysia, Corbin Ong yang kerap kali menjadi pilihan Kim Pan-gon bagi membentuk benteng kebal buat Harimau Malaya.
Walaupun berdepan tugas berat untuk mengawasi Wu Lei, kelebihan fizikal sudah tentu menjadi aset terpenting buat Corbin bagi menidakkan jaringan gol dari barisan pemain China.
Corbin merupakan antara pertahanan kiri terbaik yang pernah dimiliki negara. Beliau sudah mengumpul 20 kaps bersama skuad kebangsaan. Beliau juga mempamerkan aksi luar biasa dalam saingan domestik apabila sudah meledak empat gol serta mencipta dua bantuan gol buat kelabnya, Johor Darul Ta’zim (JDT).