Kerajaan negeri Pahang dilaporkan sedang mengusahakan peruntukan untuk proses penaiktarafan padang Stadium Darul Makmur.
Perkara ini dikongsikan sendiri Exco Komunikasi Dan Multimedia, Belia, Sukan Dan Badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Kamal bila ditanya seorang pengguna TikTok tentang perkara itu.
Sebelum ini, kerajaan negeri memaklumkan Stadium Darul Makmur sedang menjalani proses penaiktarafan dengan kos sebanyak RM4.6 juta.
Antara kemudahan stadium yang telah ditambah baik ialah kawasan trek balapan dan tempat duduk baru di kawasan grandstand.
Selain penaiktarafan kemudahan stadium, kerajaan negeri juga akan menukar rumput padang Stadium Darul Makmur daripada Cowgrass kepada Bermuda.
Apabila ditanya pengguna TikTok, Muizz Rafaei bila proses itu akan bermula, Fadzli memaklumkan proses itu akan berlaku apabila peruntukan telah diterima.
“Insya Allah, tengah dapatkan duit,” katanya ringkas di ruang komen. Difahamkan kos penukaran rumput Stadium Darul Makmur bakal mencecah RM1.7 juta.
Kos ini bukan saja meliputi proses penukaran rumput stadium. Malah, ini turut meliputi kerja-kerja penaiktarafan sistem aliran padang stadium berkenaan.
Disebabkan proses penaiktarafan yang masih berjalan, Sri Pahang FC menggunakan Stadium Temerloh sebagai gelanggang rasmi untuk saingan Liga Malaysia (Liga M) 2024/25.