Tular Aksi Ala ‘Gusti’ Bintang EPL Serang Pemain Jordan
MakanBola
Jordan FA

Terjahan ala gusti yang dibuat bintang Liga Perdana Inggeris (EPL), Alex Iwobi terhadap pemain Jordan mencemari aksi persahabatan antara pasukan itu dan Nigeria baru-baru ini.

Daily Mail melaporkan insiden itu berlaku pada minit akhir permainan. Iwobi merasa marah selepas ditarik pemain tengah Jordan, Amer Jamous.

Hal ini mendorong bekas bintang Arsenal itu membuat terjahan ala gusti terhadap pemain Al-Zawraa SC itu.

Tindakan Iwobi mencetuskan rasa tidak puas hati pemain-pemain Al-Nashama sehingga membawa kepada insiden tolak-menolak antara kedua-dua pasukan.

Ini termasuk pemain tengah Selangor FC, Noor Al-Rawabdeh dan bekas pemain pertahanan Merah Kuning, Yazan Al-Arab.

Selepas kedua-dua pasukan berjaya ditenangkan, pengadil tidak teragak-agak melayangkan kad merah kepada Iwobi. Empat lagi pemain dikenakan kad kuning termasuk Yazan dan Amer.

Jordan dan Nigeria terikat 2-2 dalam aksi yang berlangsung di Turkiye. Mousa Al-Tamari dan Mohammad Al-Dawoud menyumbat gol buat Jordan.

Nigeria membalas menerusi Moses Simon dan Emmanuel Fernandez. Aksi ini merupakan sebahagian daripada persiapan Jordan untuk menghadapi Piala Dunia 2026.