Kehadiran Liga Super Malaysia ke dalam permainan popular, eFootball kini semakin hangat diperkatakan, selepas beberapa imej didakwa memaparkan kelab tempatan mula tersebar di media sosial.
Perkara ini dibocorkan oleh pencipta kandungan komuniti eFootball, Texoor yang berkongsi tangkap layar memaparkan sehingga 13 kelab Liga Super Malaysia dipercayai sudah berada dalam pangkalan data permainan tersebut.
“Adakah Liga Malaysia sudah berada dalam eFootball?” soal Texoor di laman X, sekali gus mencetuskan spekulasi besar dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.
Lebih menarik, foto yang tular itu bukan hanya memaparkan senarai kelab, malah menunjukkan antara muka (UI) permainan dengan paparan logo pasukan seperti Johor Darul Ta’zim (JDT), Kelantan TRW, PDRM, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Kuching City dan banyak lagi.
Ini sekaligus memberi gambaran bahawa keseluruhan liga mungkin sedang dalam proses dimasukkan ke dalam permainan berkenaan.
Dalam masa sama, dua lagi imej turut mencuri perhatian apabila memperlihatkan model pemain yang menyerupai bintang Johor Darul Ta’zim (JDT), Samu Castillejo serta tonggak Selangor FC, Faisal Halim lengkap dengan jersi pasukan masing-masing.
Wajah Akhyar Rashid (Terengganu FC) dan Nicolao Cardoso (KL City) turut muncul di laman X lengkap menyarung jersi kelab, membuatkan peminat semakin teruja menantikan aksi mereka dalam permainan digital ini.
Perincian seperti wajah pemain, rekaan kit serta penajaan yang kelihatan hampir tepat menimbulkan persoalan sama ada Liga Malaysia sudah menerima status lesen rasmi (licensed) dalam eFootball?
Sebagai rekod, Konami sebelum ini hanya menampilkan beberapa liga utama Asia seperti Jepun (J-League), Korea Selatan (K-League) dan Thailand (Thai League) dalam permainan tersebut.
Justeru, kemasukan Liga Malaysia dilihat sebagai satu langkah besar dalam memperluaskan pengaruh bola sepak tempatan ke pentas global.
Namun begitu, sehingga kini masih belum ada sebarang pengumuman rasmi daripada Malaysian Football League (MFL) mahupun Konami berhubung perkara ini.
Dengan kemas kini permainan dijangka dilancarkan dalam masa terdekat, peminat kini hanya mampu menantikan sama ada spekulasi ini akan menjadi kenyataan atau sekadar kekal sebagai ‘leak’ yang mencetuskan keterujaan sementara.