Tunggakan Cukai LHDN Kedah FA Cecah Angka RM10 Juta
Dunia
Instagram: @official_kedahfa
Advertisements

MakanBola.com, Petaling Jaya, 24 Sept –Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah yang berlangsung semalam telah membangkitkan beberapa isu melibatkan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA). Kedah FA kini sedang berdepan dengan tunggakan cukai pendapatan mencecah angka RM10 juta daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Setiausaha Kehormat KFA, Mohd Firdaus Ahmad berkata jumlah itu diketahui pada bulan Mac lepas hasil semakan semula dokumen berkaitan penggajian para pemain dan pegawai pasukan Kedah pada tahun 2014 sehingga 2019.

“Semakan tersebut mendapati KFA mempunyai tunggakan PCB/CP38 (Potongan Caruman Berjadual). Jumlah tunggakan PCB/CP38 itu telah meningkat kepada RM10 juta,” katanya seperti yang dipetik dalam Bernama.

Advertisements

Pada satu sidang media selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri, presiden Kedah FA, YB Muhammad Sanusi Md Nor berkata tuntutan LHDN itu melibatkan cukai pendapatan bekas pemain import Kedah iaitu Sandro Da Silva dan Liridon Krasniqi. Turut sama tunggakan cukai tertinggi menerusi empat orang bekas pemain import mereka.

“Selain Sandro dan Liridon, tunggakan cukai tertinggi turut membabitkan Bang Seung Hwan sebanyak RM935,000, Ken Ilso Larson (RM470,000), Chidi Edeh (RM434,000) dan Carlos Kahe (RM346,000).”

Tambah beliau, pihak pengurusan KFA terdahulu didapati memotong gaji pemain dan jurulatih terbabit bagi bayaran cukai pendapatan, namun gagal melunaskan bayaran itu kepada LHDN.

Advertisements

“Tuntutan tunggakan cukai itu turut membabitkan barisan kejurulatihan import antaranya Ian Gillan dan Stefano Impagliazzo. Sepatutnya kalau ada tunggakan pada 2018 atau 2017, tuntutlah pada tahun itu juga tetapi mereka kata pada masa itu pengurusan KFA lama tidak memberi kerjasama.”

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata pihaknya akan berunding dengan LHDN untuk melunaskan tunggakan itu berikutan kegagalan LHDN sendiri sebelum ini yang gagal menuntut bayaran tunggakan itu pada tahun sebelumnya.

“Sekarang apabila pengurusan baharu beri kerjasama, mereka datang longgok semua atas ‘kepala’ kita. Kalau macam itu, teruklah kita kerana KFA bukan buat untung, sebaliknya memajukan sukan melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan penaja.”

Advertisements

“Tunggakan ini berlaku pada masa lalu, tak bolehlah kutip sekarang. Justeru saya berunding dengan LHDN untuk memohon hapus kira di atas kegagalan mereka membuat kutipan pada masa lalu.”

“Kita kena susun dan dapatkan surat pelepasan LHDN, kalau tak dapat pelepasan, kita tak boleh main kerana tak dapat lesen pada musim depan. Dosanya pada masa lalu, dan kerja saya pula menyucikan dosa lama,” katanya seperti dipetik dalam Berita Harian.

Muhammad Sanusi dan pengurusan baharu KFA berharap agar perkara ini diselesaikan dengan segera dan pihak LHDN dapat mempertimbangkan permintaan dan rundingan yang dibuat Kedah FA.

Advertisements
Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram