Advertisement
Tunggakan Gaji Dua Bulan KL City Bakal Selesai Minggu Depan
Liga Super
MakanBola
MFL

Barisan pemain KL City FC menerima khabar gembira apabila tunggakan gaji dua bulan pasukan itu bakal diselesaikan pada minggu hadapan.

Isu tunggakan gaji membabitkan pasukan Lembah Klang itu timbul apabila kapten, Paulo Josue mendedahkan beliau tidak menerima gaji selama tujuh bulan.

Pendedahan itu disusuli pendedahan bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Samad bahawa pemain-pemain The City Boys tidak mempunyai wang untuk meraikan Hari Raya Aidiladha.

Apa yang lebih menyedihkan ialah sesetengah pemain baru pulang daripada menjalankan tugas bersama Harimau Malaya pada Jun lalu.

Susulan pendedahan-pendedahan tersebut, wartawan Astro Arena, Fina Nasrom memaklumkan tunggakan gaji selama dua bulan bakal dilunaskan kepada skuad KL City pada minggu hadapan.

Selain itu, satu pertemuan dengan pemain juga akan diadakan bagi mengetahui skala sebenar masalah tunggakan gaji yang membelenggu The City Boys.

“KL City bakal terima bayaran 2 bulan gaji minggu depan. (Pengurusan) turut akan adakan pertemuan dengan pemain untuk dapatkan perincian sebenar isu tunggakan gaji musim ini,” katanya di X.

Berita ini bakal membakar semangat anak buah Miroslav Kuljanac apabila turun menentang Selangor FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 14 Julai ini.