Penyokong Negeri Sembilan FC kini boleh menghela nafas lega kerana isu tunggakan gaji membabitkan barisan pemain pasukan itu sudah selesai sepenuhnya.
Perkara ini didedahkan oleh bekas pemain kebangsaan, Mahali Jasuli dalam temubual bersama wartawan Astro Arena, Fina Nasrom baru-baru ini.
Mahali yang beraksi untuk skuad Rusa pada musim lepas mengakui bersyukur kerana isu ini telah menemui titik noktahnya.
Ini membolehkan barisan pemain Negeri Sembilan yang dikekalkan untuk musim 2024-2025 dapat beraksi lebih baik di atas padang tanpa memikirkan hal tunggakan gaji.
“Ya, seperti yang semua sedia maklum, Negeri Sembilan ada masalah gaji. Tapi alhamdulillah, kiranya masalah ini sudah diselesaikan dengan baik. Tiada isu lagi antara pemain dengan pengurusan (kelab),” katanya.
Mahali berharap dengan selesainya isu tunggakan gaji dengan skuad Rusa, beliau kini boleh fokus untuk mencari pasukan baru yang memiliki kedudukan kewangan yang stabil.
“Untuk tahun ini, saya memang mencari pasukan yang memiliki kewangan yang stabil. Jadi, dari situ, sebagai pemain bola kita boleh fokuslah.
“Kalau pasukan stabil (dan) gaji tiada masalah, jadi, pemain boleh fokuslah dalam liga,” tambahnya.
Bekas bek kanan Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) itu dilaporkan semakin berhampir menyertai sebuah pasukan yang berpangkalan di Lembah Klang.
Mahali merekodkan 25 penampilan dalam Liga Super untuk skuad Rusa dengan menyumbat satu gol dan mencipta lima bantuan gol.