DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor merasa gembira melihat Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi tumpuan media antarabangsa.
Ini selepas nama juara Liga Super itu menjadi tumpuan media kerana pencapaian JDT termasuk memiliki rekod tanpa kalah kedua terpanjang di dunia.
JDT kini berkongsi rekod tersebut dengan kelab Romania, Steaua Bucharest (kini FCSB) dengan rekod 104 perlawanan.
Kelab Ivory Coast, ASEC Abidjan (kini ASEC Mimosas) masih mendahului dengan rekod 108 perlawanan.
Nama JDT menjadi subjek rencana beberapa portal seperti beinSPORT, Associated Press, ESPN dan Sporting News.
Baginda merasa gembira dengan perkembangan positif JDT sebelum menyatakan komen ini, “Bangga melihat JDT mendapat perhatian antarabangsa.”
JDT kini bukan saja fokus memburu tiket final Piala Malaysia. Malah, pasukan itu juga bersiap sedia untuk kempen suku akhir Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).
JDT bakal menentang sama ada Al-Duhail atau juara bertahan dari Arab Saudi, Al-Ahli di peringkat suku akhir.