DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor memberi bayangan Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) bakal menceburi dunia Ultimate Fighting Championship (UFC).
Bayangan tersebut dinyatakan menerusi satu hantaran Instagram Story yang dimuat naik baginda baru-baru ini. Hantaran tersebut turut memetik nama bekas jaguh MMA dari Australia, Soa Palelei.
Palelei bukan asing dalam dunia UFC kerana pernah bertarung dalam kejohanan tersebut dari 2013 hingga 2015. Beliau turut dikenali dengan gelaran The Hulk oleh peminat sukan MMA.
“JDT mewakili Uso Soa Palelei. Projek UFC JDT tidak lama lagi,” kata baginda. Menariknya, Instagram Story berkenaan turut dikongsi akaun Johor Southern Tigers dan Palelei sendiri.
Pengumuman ini sekaligus turut menjawab perjumpaan bekas jaguh MMA itu dengan Tunku Ismail lebih sebulan yang lalu. Gambar perjumpaan mereka turut dikongsikan Palelei di akaun Instagramnya.
Walau bagaimanapun, Palelei pada ketika itu tidak mendedahkan apa butiran di sebalik perjumpaan beliau dengan baginda. “Jika anda tahu, anda tahu,” katanya ringkas.
Sekiranya projek ini menjadi kenyataan, ini bakal menjadi cabang sukan terbaru diceburi JDT selepas bola sepak, tinju, bola jaring, futsal, hoki ais dan sukan permotoran.