Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor bertemu dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Qatar Airways.
Baginda dalam satu kenyataan berkongsi tentang pertemuan tersebut yang turut disertai oleh Tim Cahill selaku Penasihat Khas kepada DYAM Pemangku Sultan Johor.
“Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor mengadakan pertemuan dengan Badr Mohammed Al-Meer, Ketua Pegawai Eksekutif Qatar Airways di Doha, Qatar hari ini.
Pertemuan ini dijangka bakal mengeratkan lagi hubungan Johor dan Qatar selain membawa pelbagai manfaat kepada negeri tersebut.
“Pertemuan ini tertumpu kepada menjalin hubungan lebih erat yang boleh memanfaatkan negeri Johor dengan rangkaian penerbangan luas Qatar Airways dan meningkatkan ekonomi Johor,” ujar baginda dalam satu kenyataan.
Baginda berkunjung ke Qatar minggu ini juga untuk beberapa siri mesyuarat termasuklah bersama individu-individu terkenal dan berjaya dalam dunia bola sepak.
“Antara topik perbincangan termasuk pembangunan infrastruktur awam, ekonomi, bola sepak dan perkongsian kepakaran yang boleh memberi manfaat kepada negeri Johor dan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT),” tambah kenyataan tersebut.
DYAM Tunku Ismail dalam satu kenyataan di laman sosial juga menyebut berkenaan satu revolusi yang bakal berlaku tidak lama lagi.
“Semua yang saya katakan 11 tahun lalu saya telah capai. Dua tahun lalu saya berkata saya akan meningkatkan sukan ini dan saya telah melakukannya dalam dan di luar padang.
“Tonton apa yang saya akan lakukan sekarang. Bola sepak hanyalah kenderaan, ini bakal ke depan dan lebih besar,” ujarnya dalam satu hantaran.