Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor melihat bahawa bola sepak Malaysia tidak gagal sebaliknya individu yang menguruskannya.
Baginda dalam satu kenyataan oleh Johor Southern Tigers menyebut bahawa bola sepak Malaysia tidak boleh dianggap gagal selepas apa yang berjaya dibuktikan oleh skuad Harimau Selatan.
“Kadangkala sukar untuk difahami mengapa sesetengah pihak menganggap bola sepak Malaysia sebagai gagal.
“Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) telah berkembang menjadi pasukan nombor 1 di Asia Tenggara dan keenam di Asia berdasarkan Opta Power Rankings. Malaysia juga telah layak ke Piala Asia untuk pertama kali sejak 40 tahun.
Bukan itu sahaja, JDT juga telah menjadi penyumbang tertinggi bagi mata AFC MA Ranking Malaysia sejak 9 tahun yang lalu.
“Prestasi JDT di Asia telah menyumbang 21.54 (68.7%) daripada 31.33 mata ranking MA Malaysia sejak tahun 2015 hingga membantu lebih banyak kelab Malaysia bersaing pada pertandingan Asia.
“JDT juga muncul satu-satunya kelab Asia Tenggara yang memenangi Piala AFC (2015). JDT juga antara kelab yang mempunyai fasiliti terbaik termasuklah perubatan di Asia yang menepati kehendak bola sepak moden,” titah DYAM Tunku Ismail dalam satu kenyataan.
Baginda juga melihat kegagalan ini terletak kepada individu yang terlibat dalam menguruskan sesebuah pasukan dengan baik.
“Jadi, bagaimana bola sepak Malaysia dikira gagal apabila ada satu pasukan mampu berjaya di Asia? Disebabkan gaji yang tertunggak, kekurangan infrastruktur bola sepak, kekurangan pembangunan akar umbi di peringkat kelab atau pengurusan yang tidak baik?
“Ini semua disebabkan adanya ramai individu yang tidak berkelayakan berada dalam industri sukan.
“Bola sepak tidak gagal tetapi individu dalam pasukan yang gagal mengurus dan meningkatkan standard serta mereka yang sentiasa menyokong dan bukannya memberikan tekanan terhadap kegagalan itu,” tambahnya.
DYAM Tunku Ismail berharap agar ada desakan untuk perubahan bermula dengan pasukan masing-masing.