Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor menjelaskan tentang kepentingan menggunakan padang rumput lebih baik berbanding rumput lembu.
Baru-baru ini, isu berkenaan keadaan padang di Malaysia menjadi bualan hangat selepas aksi antara Perak dan JDT terpaksa ditunda susulan keadaan padang yang berlecak.
DYAM Tunku Ismail sebelum ini sudah pun menjelaskan kepentingan menggunakan rumput yang lebih baik berbanding rumput lembu yang tidak sesuai untuk era bola sepak moden.
Malah, negara-negara jiran seperti Thailand, Indonesia, Singapura bahkan Laos telah menaik taraf padang dengan menggunakan rumput berkualiti tinggi untuk kemajuan bola sepak di negara masing-masing.
Baginda menjelaskan bahawa penggunaan rumput yang baik amat penting bagi era bola sepak moden ketika ini.
“Ini bukan soal cantik. Ini berkenaan permukaan yang bagus untuk beraksi bagi era bola sepak moden.
“Kalau bagus sangat, negara-negara maju dalam bola dah pakai rumput lembu. Kenapa susah sangat kita nak terima dan belajar daripada mereka yang lebih berjaya?
Baginda turut menegur mentaliti dan sikap segelintir pihak yang mahukan kemajuan dalam bola sepak namun tidak mahu berubah.
“Negara Laos yang miskin pun padang lagi cantik daripada negara kita. Masalah padang rumput lembu adalah permukaan permainan dan apabila hujan, air bertakung.
Ini kerana padang tersebut adalah berasaskan tanah dan bukan berasaskan pasir. Berlumpur. Nak bola maju tapi pemikiran masih tak nak berubah,” jelas DYAM Tunku Ismail.
Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) sebelum ini telah menyalurkan geran keseluruhan bernilai RM4.6 juta kepada 10 negeri bagi pelaksanaan projek menaik taraf padang bola sepak dan sistem saliran di stadium.
8 negeri dalam senarai iaitu Negeri Sembilan, Kelantan, Pahang, Terengganu, Selangor, Perak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Melaka menerima geran penuh RM500,000 bagi proses penambahbaikan saliran dan penukaran rumput di stadium.