Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor menzahirkan pandangan terkini tentang senario bola sepak negara.
Baginda dalam satu kenyataan seperti yang ditulis oleh Johor Southern Tigers menyentuh tentang isu kelab yang tidak membayar gaji dan menarik diri sesuka hati.
“Selepas ini yang mana kelab tidak membayar gaji, tarik diri sesuka hati, melanggar undang-undang liga, suruh Sultan tulis surat murka sahaja senang.
“Pasukan setiap negeri yang buat salah semua boleh suruh MFL tarik balik hukuman dengan mohon jasa Tuanku Sultan masing-masing keluarkan surat. Selepas ni Tuanku Sultan yang lain juga akan bertanya, kenapa Selangor boleh dikurangkan hukuman dan negeri kami tidak boleh?
DYAM Tunku Mahkota Ismail juga menyatakan bahawa JDT sudah didenda ratusan ribu sejak tahun 2013 tanpa sebarang kenyataan dibuat terhadap hukuman tersebut.
“JDT daripada 2013 kena denda beratus ribu, saya kena ‘banned’ 6 bulan, tidak ada pun Tuanku Sultan Johor keluarkan surat atau buat kenyataan. Siap mengungkit beri pingat Datuk. MFL buat ‘U-Turn’ tanpa surat rayuan. Yang memekak hentam MFL baik puji MFL sekarang,” jelas baginda dalam satu kenyataan.
DYAM Tunku Mahkota Ismail juga menyatakan perihal ‘tokong’ bola sepak Malaysia yang sebenar pada akhir kenyataannya.
“Tuan-tuan dan puan-puan, saya persembahkan kepada anda Tokong sebenar bola sepak Malaysia.”
MFL telah mengumumkan penarikan dua hukuman terhadap Selangor dan juga pengurangan denda kepada RM 60,000.